Sunday, 17 February 2013

senarai terbaru orang terkaya di malaysia

Ananda Krishnan Robert Kuok, Robert Kuok Malaysia yang berpangkalan di Hong Kong masih merupakan orang terkaya di Malaysia dengan kekayaan bernilai RM46.1 bilion, meningkat sebanyak 0.88 peratus daripada RM45.7 bilion tahun lepas, diikuti oleh ahli perniagaan Ananda Krishnan dan Pengerusi/CEO Public Bank, Tan Sri Teh Hong Piow.

Ananda Krishnan, yang menduduki tempat kedua sejak 2004, telah mengalami penyusutan kekayaan terbesar apabila ia merosot 23.5 peratus dari tahun lepas, dengan aset yang dipegang melalui Usaha Tegas Sdn Bhd bernilai RM32.90 bilion setakat tarikh pengiraan pada 18 Januari, 2013.

Teh, mengekalkan kedudukannya bagi tahun ketiga berturut-turut dengan aset bernilai RM13.73 bilion, demikian menurut Malaysian Business, majalah perniagaan perdana Malaysia dalam terbitan 16 Februari.

Ia berkata kekayaan tergabung 40 individu terkaya Malaysia itu meningkat sedikit tahun ini meskipun dalam keadaan pasaran modal yang turun naik dan tidak menentu.

Secara kolektif, 40 orang terkaya Malaysia itu bernilai RM194.86 bilion pada 18 Januari. Ini merupakan peningkatan kecil sebanyak 0.86 peratus berbanding RM193.2 bilion setahun lalu.

Semasa Malaysian Business mula-mula menilai kekayaan 40 individu terkaya Malaysia pada 2002, aset tergabung mereka berjumlah RM41.7 bilion dan Robert Kuok Hock Nien muncul pada kedudukan teratas.

Majalah itu berkata keempat dalam senarai itu ialah Tan Sri Quek Leng Chan, yang melonjak daripada kedudukan keenam tahun lepas, menggantikan Tan Sri Lee Shin Cheng dari IOI Group, yang turun ke tempat keenam.

Kekayaan Quek, melalui syarikat utamanya, Hong Leong Group dan Guoco Group, bernilai RM11.09 bilion tahun ini.

Tan Sri Syed Mokhtar AlbukharyTan Sri Syed Mokhtar Albukhary mengekalkan kedudukan kelimanya tahun ini dengan kekayaan berjumlah RM10.60 bilion, meningkat daripada RM9.53 bilion tahun lepas.

Tan Sri Lee Shin Cheng, melalui syarikatnya, IOI Group, turun dari kedudukan keempat pada 2012 ke tempat keenam dengan aset bernilai RM10.56 bilion.

Pengerusi Genting Group, Tan Sri Lim Kok Thay, dan ibunya, Puan Sri Lee Kim Hua, masing-masing masih pada kedudukan ketujuh dan kelapan. Kekayaan Lim bertambah 7.06 peratus kepada RM8.12 bilion manakala Lee menambah kekayaannya
sebanyak 9.82 peratus kepada RM7.23 bilion.

Tan Sri Tiong Hiew King, melalui jenteranya, Rimbunan Hijau Sdn Bhd, berada di tempat kesembilan tahun ini dengan aset bernilai RM6.35 bilion, susut 1.01 peratus daripada kekayaannya tahun lepas.

Melengkapi senarai 10 terkaya ialah jutawan harta yang berpangkalan di Singapura, Ong Beng Seng, melalui Hotel Properties Ltd, dengan kekayaan berjumlah RM4.02 bilion, setelah mengalami penyusutan sebanyak 18.36 peratus daripada tahun lepas.

Malaysian Business berkata satu hakikat menarik ialah sejak 2002, seramai 81 tikun telah menyertai senarai 40 Orang Terkaya Malaysia dan daripada jumlah itu, 15 berjaya terus kekal dalam senarai.

Keseluruhannya, peningkatan kukuh kekayaan hartawan-hartawan ini boleh dikaitkan dengan prestasi pasaran saham dan inflasi harga, memandangkan sebahagian besar kekayaan mereka adalah berdasarkan pegangan saham masing-masing.

Ia juga mencerminkan prestasi syarikat mereka dan pertumbuhan positif ekonomi Malaysia dalam 12 tahun lalu.

Bagi tahun ini, ada 31 bilionair – bertambah seorang lagi sejak tahun lepas - dan 23 daripada 40 orang dalam senarai itu menyaksikan aset mereka meningkat daripada tahun lepas. Daripada seramai ini, 14 mencatatkan pertumbuhan lebih daripada 10 peratus.

Senarai itu juga mencatat tiga pendatang baharu. Datuk Desmond Lim dari Pavilion REIT muncul kali pertama dalam senarai itu pada tempat ke-15, dengan kekayaan bernilai RM1.869 bilion. Dua lagi, Datuk Tan Heng Chew dari Tan Chong Motors Holding dan Tan Sri Kua Sian Kooi dari KSK Group, memasuki semula senarai itu, masing-masing pada tempat ke-37 dan ke-40.

Senarai penuh 40 tikun dan perincian kekayaan masing-masing disiarkan dalam majalah itu. Ia juga memaparkan senarai 10 tikun terkaya dalam Pasaran ACE. 

Seperti pada tahun-tahun lepas, kekayaan 40 individu dalam senarai itu dinilai berdasarkan pegangan kepentingan masing-masing dalam syarikat-syarikat tersenarai pada 18 Januari.

Malaysian Business diterbitkan oleh Berita Publishing Sdn Bhd. - Bernama

Blog Archive

tambah panas

Followers