SHAH ALAM - Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebelum ini pernah bersetuju sekiranya kerusi disandangnya digantikan oleh Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika reformasi Langkah Kajang.
Timbalan Speaker Dun Selangor, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, memandangkan kemaraan Anwar dihalang mahkamah maka posisinya ditukar kepada Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
"Pada mulanya Langkah Kajang, Abdul Khalid hanya setuju jika posisinya digantikan oleh Anwar namun atas kekangan mahkamah beliau terima calon gantian, Dr Wan Azizah.
"Bagi saya kita tahu yang nak bertanding memang Anwar di Kajang untuk proses permulaan peralihan kuasa," katanya ketika Wacana Sinar Harian: Kerusi Panas Menteri Besar Selangor, di sini, hari ini.
Jelas Nik Nazmi, Langkah Kajang yang diusahakan PKR adalah bertujuan untuk menyingkirkan Abdul Khalid supaya menteri besar itu berundur secara sukarela.
"Pada waktu itu dalam usaha kita kenapa perlu Langkah Kajang kita nak yakinkan Abdul Khalid untuk melepaskan jawatannya dan hanya kepada Anwar.
"Beliau setuju pada waktu itu (kalau Anwar nak ganti jadi MB)," katanya.