Tuesday 8 March 2011

PRK Merlimau dan Kerdau: PR gagal hakis majoriti BN



Ia semestinya berita buruk buat Pakatan Rakyat, apabila kecundang dalam kedua-dua PRK DUN Merlimau dan Kerdau, menjelang ulang tahun ketiga selepas "tsunami politik" pada 8 Mac 2008.  Lebih-lebih lagi, matlamat PR untuk "menghakis undi majoriti" turut gagal, apabila BN berjaya meraih majoriti yang lebih besar berbanding tahun 2008.
PRK Merlimau
Di Merlimau, calon UMNO-BN Roslan Ahmad menewaskan calon PAS-PR Yuhaizad Abdullah, dengan majoriti 3,643 undi.  Berbekalkan peratusan pengundian setinggi 78.98%, Roslan memenangi 5,962 undi, sementara Yuhaizad hanya memperolehi 2,319 undi.
Jumlah pengundi untuk N.27 DUN Merlimau adalah 10,679 orang, dengan 6,850 orang Melayu (64.14%), 2,225 orang Cina (20.83%), 1,567 orang India (14.67%) dan lain-lain (0.34%).  Pada PRU ke-12, Allahyarham Mohamad Hidhir Abu Hasan daripada BN memperolehi 4,981 undi, menang dengan majoriti 2,154 undi ke atas Jasmi Tompang (PAS).  Peratusan pengundian pada tahun 2008 itu adalah 76.18%.
PRK Kerdau
Di Kerdau pula, calon UMNO-BN Syed Ibrahim yang meraih 5,060 undi, berjaya menewaskan calon PAS Hassanuddin Salim dengan majoriti 2,724 undi, dalam PRK yang mencatat peratusan pengundian setinggi 83%.
Untuk N.28 DUN Kerdau, jumlah pengundi ialah 8,999 orang, dengan 7,988 orang Melayu (88.7%), 454 orang Cina (5%), 298 orang India (3.3%), dan lain-lain (2.9%).  Dalam PRU pada tahun 2008, Allahyarham Zaharuddin Abu Kassim daripada BN memperolehi 4,135 undi, menewaskan Hassanuddin Salim daripada PAS dengan majoriti 1,615 undi.  Peratusan pengundian pada PRU ke-12 adalah 75.3%.
Dengan kata lain, BN berjaya meningkatkan undi majoriti sehingga melepasi paras yang dicapainya pada tahun 2008, malah lebih tinggi daripada PRU ke-11 di Kerdau.  Pada tahun 2004, Redzwan Harun dari BN menang dengan majoriti 2,565 undi di Kerdau.  Kekesalan PR mungkin hanya terubat dengan keputusan di Merlimau, memandangkan pada tahun 2004, Mohamad Hidhir Abu Hasan menang dengan majoriti 5,087 undi.
Sesetengah pemimpin dan penyokong UMNO-BN masih menyimpan keputusan PRU ke-11 pada tahun 2004 sebagai nostalgia, memandangkan BN meraih sokongan yang tinggi di bawah pimpinan PM kelima, Abdullah Ahmad Badawi yang baru mengambil-alih tampuk kerajaan pada ketika itu.  Bagaimanapun, sokongan kepada BN menjunam secara mendadak pada tahun 2008, dilihat sebagai fenomena "luar biasa" buat BN.
Keadaan tidak memulih, meskipun Najib Razak mengambil alih jawatan Perdana Menteri pada 3 April 2009.  dalam tiga PRK serentak di Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Ai, BN hanya mampu menang satu daripadanya, ketinggalan dengan kedudukan 1-4.  BN hanya menamatkan kekalahan dirinya di Semenanjung, apabila Isa Samad menyumbang melalui PRK Bagan Pinang, pada 11 Oktober 2009.
Bagaimanapun, BN gagal mendakwa bahawa itu detik kebangkitan semula dirinya.  Meskipun menang di Hulu Selangor selepas itu, tetapi tewas pula di Sibu, belumpun genap sebulan selepas pertarungan di Hulu Selangor.  PRK kemudiannya memperlihatkan pola pengundian, di mana pengundi Melayu, kampung masih memihak kepada BN; sementara pengundi Cina, golongan muda dan bandar lebih menyebelahi PR.
BN kini berjaya mencipta kemenangan lima PRK berturut-turut dalam masa terdekat, dari Batu Sapi, Galas, Tenang, Merlimau hinggalah Kerdau.  Kesemua negeri telah menjalani sekurang-kurangnya satu PRK selepas PRU ke-12, melainkan negeri Perlis.  Keputusan ini semestinya melemahkan semangat PR, lebih-lebih lagi apabila langkah PRU ke-13 semakin mendekat.

Mengikat kedudukan 8-8
Berikutan kemenangan ini, BN berjaya mengikat kedudukan 8-8 dalam 16 PRK yang diadakan selepas PRU ke-12.  BN menerima tamparan pertama dalam PRK Permatang Pauh, menyaksikan bagaimana Anwar Ibrahim kembali ke Dewan Rakyat dengan majoriti yang lebih besar, pada Ogos 2008.  Kemudian, BN tewas sekali lagi, memberikan kerusi parlimen tambahan Kuala Terengganu kepada PAS-PR, pada awal tahun 2009.

Blog Archive

tambah panas

Followers