Friday, 10 June 2011

Khir Toyo bayar RM6 Juta tunai Ubah Suai Banglo


Bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo didakwa membelanjakan lebih RM6 juta tunai bagi kerja-kerja pengubahsuaian banglo di Seksyen 7 di sini, yang berkonsepkan Bali.
Perkara tersebut didedahkan oleh pereka laman bebas yang dilantik untuk melakukan kerja-kerja pengubahsuaian itu, Nasir Ismail, 55, pada perbicaraan kes penyalahgunaan kuasa oleh Mohamad Khir di Mahkamah Tinggi di sini, pada Khamis.
Menurut saksi, pembayaran tersebut dibuat secara tunai memandangkan status dirinya yang telah diisytiharkan sebagai bankrap pada tahun 1998 dan tidak mempunyai akaun bank.
Saksi dilepaskan daripada bankrap tersebut pada tahun 2008.
Menurut Nasir, pembayaran tersebut dilakukan dalam beberapa transaksi dan setiap satunya melibatkan RM500,000.
"Empat atau lima pembayaran dilakukan oleh Pengarah Ditamas Sdn Bhd, Shamsuddin Hayroni manakala Mohamad Khir menjelaskan bayaran sebanyak tujuh atau lapan kali," katanya.
Terdahulu, Nasir menjelaskan dia diminta melakukan kerja-kerja pengubahsuaian pada sekitar Mac 2006 selepas dimaklumkan Mohamad Khir 'berkenan' dengan kerja tangannya di rumah Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN), Tanjung Sepat, Datuk Dr Karim Mansor.
Mengimbas pertemuan pertama mereka, saksi ketiga pendakwaan itu memberitahu, ia berlaku di hadapan banglo tersebut dan semasa itu, Mohamad Khir serta isteri, Zahrah Kechik banyak bercakap mengenaipengubahsuaian yang perlu dilakukan.
"Saya minta Mohamad Khir untuk bagi wang sebanyak RM250,000 bagi sayamulakan kerja. Beliau kata oklah, asalkan kamu boleh buat," katanya dan menambah wang itu diterima di kediaman rasmi Menteri Besar sekitar Mac atau April 2006.
Nasir seterusnya ke Jabatan Insolvensi untuk menguruskan pasport untuk ke Bali, Indonesia bagi membeli barang-barang pengubahsuaian.
Kata saksi lagi, Mohamad Khir kemudiannya memberitahu dia untuk berurusan dengan Shamsuddin sekiranya timbul masalah kerana beliau sibuk.
Nasir yang pada mulanya beranggapan rumah itu milik Mohamad Khir mengakui agak keliru apabila melihat nama Ditamas tertera pada pelan pengubahsuaian rumah.
Menjawab soalan Timabalan Pendakwa Raya Masri Mohd Daud, saksimemberitahu kerja-kerja pengubahsuaian selesai pada tahun 2008.
Bagaimanapun, semasa disoal oleh peguam M. Athimulan yang mengetuai barisan pembelaan Mohamad Khir, saksi mengakui bahawa ada kerja-kerja kecil yang tidak disiapkan.
"Kerja-kerja kecil tidak siap kerana waktu itu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan terhadap rumah tersebut.
"Waktu itu ada ramai orang yang melakukan tunjuk perasaan di hadapan rumah. Pasal itu saya tidak siapkan kerja," tambahnya.
Selain itu, saksi juga mengakui ia disebabkan oleh perselisihan fahamyang berlaku antara dia dengan Mohamad Khir yang berpunca daripada isu pembayaran.
Berhubung ketiadaan dokumen yang merekodkan pembayaran, Nasir memberitahu ia adalah di atas permintaan tuan rumah.
Namun begitu, saksi mengakui ada menandatangani perjanjian bayaransebanyak RM600,000 bagi tujuan formal.
"Bagaimanapun, saya hanya menerima bayaran RM100,000 dalam bentuk cek," tambahnya merujuk kepada perjanjian tersebut.
Mengenai ketiadaan dokumen seperti resit yang membuktikan pembayaran, Nasir berkata ia adalah di atas 'permintaan tuan rumah'.
Pada keterangan lain, Nasir mengakui dia tidak mempunyai lesen kontraktor tetapi berani untuk melakukan kerja pengubahsuaian atas dasar minat, pengalaman dan pembacaan.
"Tun Dr Mahathir Mohamad kata 'Malaysia Boleh' jadi saya rasa saya boleh buat," tambahnya dengan nada yang tegas.
Saksi turut mengakui dia tidak memaklumkan penerima wang kepada Jabatan Insolvensi kerana tidak mengetahui perbuatannya salah.
Hakim Mohtarudin Baki bagaimanapun mengingatkan Athimulan bahawa saksibukan tertuduh yang sedang dibicarakan.

Blog Archive

tambah panas

Followers