Utusan Malaysia dan ancaman terhadap keselamatan negara
Nikmat keamanan yang dikecapi oleh lebih 27 juta rakyat Malaysia sekali lagi diancam oleh akhbar Utusan Malaysia! Dari isu kuil, kepala lembu, bakar gereja, sehinggalah isu "Kristian sebagai agama rasmi". Nasib kita dan Malaysia terus diperjudikan oleh kelompok terdesak yang suka memanipulasi isu agama dan bangsa sehingga dikhuatiri mampu menimbulkan kekacauan. Malangnya, mereka nampaknya kelihatan kebal dari sebarang peruntukan undang-undang; Akta Hasutan contohnya. Apakah kita sebagai rakyat Malaysia yang cintakan keamanan akan terus membiarkan Utusan Malaysiamelakukan apa sahaja yang mengancam keselamatan negara? Isu Kristian sebagai agama rasmi ini dilihat akan menjadi polemik berpanjangan, manakala sebahagian golongan rakyat yang tertipu akan terus memperbincangkan isu ini walhal ia tidak pernah wujud sama sekali! Selagi pihak yang mendakwa tidak mengemukakan sebarang bukti kukuh - rakaman video mahupun audio - kita boleh meletakkan isu ini sebagai isu fitnah -tidak benar- palsu! Malah; dakwaan Utusan ini telahpun disangkal sekeras-kerasnya oleh DAP mahupun Persekutuan Kristian Malaysia. Isu ini seharusnya tidak perlu diperpanjangkan malah kerajaan harus bertindak cepat dan tegas terhadap mereka yang bertanggungjawab. Rentetan dari isu ini, ia secara tidak langsung dilihat cuba untuk mengalihkan perhatian rakyat terhadap isu Lynas mahupun kenaikan harga RON 97, begitu juga dengan isu kenaikan harga gula di pasaran. Semakin hari, gagasan 1Malaysia telah dibogelkan oleh kelompok mereka sendiri. Kebenaran makin terserlah. 1Malaysia telah terbukti sebagai gagasan kosmetik. Utusan Malaysia telah lama hilang integriti. Dakwaan blogger yang telah disensasikanUtusan Malaysia menggambarkan DAP sebagai sebuah parti chauvinis Cina yang berbahaya untuk negara dan umat Islam walhal DAP semakin diterima baik oleh sebahagian masyarakat Melayu dan ini amat menggusarkan UMNO. Saya percaya isu yang ditimbulkan ini semata-mata bertujuan politik. Ia mengimbau kembali bagaimana almarhum Gus Dur, mantan Presiden Indonesia didakwa telah dibaptiskan oleh sekumpulan paderi semasa majlis National Prayer Conference pada tahun 2003 walhal beliau cuma didoakan kesihatannya. Perkara ini telah mendapat liputan meluas media massa dan menjadi kontroversi. Lantas, sekali lagi polemik Islam -Kristian timbul manakala Abu Bakar Al-Basyir pula menyifatkan Gus Dur telahpun murtad. Berbalik semula ke Malaysia; walaupun isu Gus Dur berbeza, saya cuba menjelaskan bagaimana sebarang isu agama begitu mudah untuk dieksploitasi. Lebih-lebih lagi di Malaysia yang rakyatnya ditadbir dengan konsep pecah dan perintah acuan British. Akan dakwaan jahat ini; sekali lagi umat Kristian secara langsung telah diletakkan dalam keadaan tidak selesa. Isu ini seolah-olah "menggambarkan" agama Kristian yang telah bertapak di negara ini sejak ratusan tahu lalu sebagai sebuah ancaman kepada negara. Siapa sebenarnya ancaman kepada negara selama ini? Utusan Malaysia harus bertanggungjawab kerana dilihat seolah cuba menimbulkan kebencian antara umat Islam dan umat Kritian. Rasanya rakyat Malaysia masih matang untuk menilai lebih-lebih lagi bagi mereka yang mempunyai akses kepada media alternatif. Walau bagaimanapun, kita bimbang; isu "Kristian sebagai agama rasmi" ini walaupun sebuah dakwaan palsu, ia akan mewujudkan kelompok-kelompok ekstrem fasis agama yang akan mengancam keselamatan nyawa rakyat dan negara. Apakah ancaman-ancaman ini sesuatu yang diimpikan oleh Utusan Malaysia dan UMNO? Dan sekiranya ia berlaku, apakah UMNO akan bertanggungjawab? Dan siapakah yang akan mendapat keuntungan dari perkara yang tidak diingini sekiranya berlaku? Justeru, kita mempersoalkan di mana pihak berkuasa untuk menangani masalah ini. Bukankah ada akta-akta tertentu untuk membendung isu sebegini? Sebagai sebuah masyarakat yang semakin terdidik mengenai hak dan demokrasi. Kita semestinya perlu menyokong hak kebebasan bermaklumat. Kita juga harus bersetuju dengan sebarang pendedahan isu maupun pembongkaran terhadap sebarang salahguna wang negara mahupun salah guna kuasa pemimpin. Walau bagaimanapun, kita harus sedar akan bahaya bentuk eksploitasi dari isu agama mahupun isu bangsa. Media harus memainkan peranan mereka agar isu sebegini tidak lagi timbul. Akan tetapi, apakah media negara ini mempunyai kebebasan untuk menghalang sebarang rancangan jahat kelompok tertentu? Dakwaan seperti yang terkandung dalam blog bigdog dan Utusan Malaysia itu adalah sebuah ancaman yang bahaya dan melampau. Rakyat harus meletakkan diri mereka di suatu sudut selamat agar tidak mudah termakan dengan propaganda terdesak sebegini pada masa yang sama harus bersatu dalam mewujudkan sebuah Malaysia baru yang lebih aman dan matang. *Hafiz Zainuddin ialah kolumnis MerdekaReview, edisi bahasa Malaysia. |