Saturday, 7 May 2011

Sejuta Rakyat Kita Berhijrah Ke Luar Negara � Salleh Majid


Bank Dunia kelmarin menyatakan terdapat sejuta rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara. Tentu sekali angka ini jauh lebih tinggi daripada apa yang kita pernah diberitahu iaitu antara 300,000 sehingga 500,000 sahaja.
Brain drain memang suatu fenomena yang menjadi kebimbangan kepada kerajaan kerana ia melibatkan beberapa perkara.
Pertama, tentu sekali dalam usaha kita untuk meningkatkan tahap tenaga kerja berkemahiran supaya kita sebagai sebuah negara dapat beralih ke rantai nilai teknologi dalam pelbagai bidang ke tahap yang lebih tinggi dan canggih.
Kita ketinggalan dalam menarik pelaburan langsung asing walaupun pada 2010, pelaburan yang kita terima sebanyak AS$9 bilion lebih baik daripada AS$1.4 bilion yang kita terima pada 2009.
Perbezaan angka dengan negara jiran kita begitu jauh berbeza. Kita hakikatnya tidak mampu menampung pelabur yang membawa masuk teknologi yang memerlukan tenaga kerja mahir untuk mengendalikan pelbagai peralatan, jentera dan perisian.
Apa yang penting ialah kita menyedari keadaan kita ini. Kita menyedari yang kita ditinggalkan oleh jiran-jiran yang pada suatu masa dulu sama setanding dengan kita.
Di antara usaha yang menunjukkan kita melakukan sesuatu adalah mengiktiraf perlunya kita memberikan tumpuan yang sama kepada sekolah-sekolah vokasional dan teknikal. Bilangan yang disalurkan ke arah sekolah jenis ini dapat ditingkatkan daripada 10 peratus mungkin kepada 30 peratus atau 40 peratus.
Mungkin untuk membantu kita dari segi tenaga pengajar kita boleh mendapat bantuan daripada negara seperti Korea Selatan dan Jepun atau negara-negara Eropah seperti Belanda dan negara sebelah sini seperti Australia.
Suatu lagi langkah yang telah pun diumumkan dan ditubuhkan untuk melihat pengaliran keluar mereka yang mahir ini ialah Perbadanan Bakat. Kita percaya perbadanan ini perlulah mengenal pasti pelbagai sebab kenapa seseorang rakyat Malaysia itu sanggup berhijrah ke negara lain.
Perbezaan gaji dan faedah yang tinggi antara bekerja di luar negara dan di negara ini mungkin suatu tarikan tetapi banyak lagi perkara lain yang mungkin dijadikan sebab penghijrahan.
Antara yang disebut-sebut oleh kawan mereka yang berhijrah ialah sistem pendidikan kita yang kepada sesetengah orang menganggap tidak sesuai untuk anak-anak mereka.
Kepada mereka yang menggunakan ini sebagai alasan untuk berhijrah tak mampulah kita hendak menarik mereka balik kecuali kita sanggup mengubah beberapa perkara seperti keutamaan kepada bahasa Inggeris.
Memang tidak dapat kita nafikan suasana di tempat kerja antara negara luar dan negara kita berbeza, misalnya dari segi peluang untuk kenaikan pangkat, imbuhan dan lebih-lebih lagi pengiktirafan pihak majikan yang kadangkala dikatakan bersifat diskriminasi.
Peluang kerjaya masa depan yang tidak jelas dalam syarikat-syarikat kadangkala menjadi perangsang kepada pekerja untuk bekerja di negara lain yang mana prestasi diberikan pengiktirafan.
Tidak hairan juga kalau kemahiran yang dimiliki oleh seseorang itu tidak dapat digunakan di negara ini misalnya dalam bidang kedoktoran kerana pengkhususannya begitu canggih, atau kalau boleh digunakan di luar negara lebih diiktiraf dari segi pembayaran gaji dan kemudahan dan sebagainya.
Kita percaya Perbadanan Bakat akan mengambil kira faktor-faktor yang menyebabkan seseorang itu berhijrah supaya kita tidak memujuk balik yang tidak lagi berminat untuk sama-sama menyumbang ke arah hasrat kita untuk menjadi negara maju dan berpendapatan tinggi.
Sesiapa yang diberikan tanggungjawab mengenal pasti mereka yang layak perlu melihat daripada pelbagai dimensi; betul-betul tidak berat sebelah atau mengorbankan sesuatu proses pemilihan yang telah ditetapkan dan terpengaruh dan unsur-unsur yang kurang sihat. - Utusan Malaysia
* Datuk Salleh Majid ialah bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia).

Blog Archive

tambah panas

Followers