Isteri kepada Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin, Zizie Izette menegaskan beliau juga tidak bersetuju dengan kenyataan dibuat suaminya itu pada sidang Dewan Rakyat Isnin lalu.
Sebaik sahaja terbaca dalam akhbar kenyataan suaminya yang mendakwa pemanduan golongan wanita di negara ini kebanyakannya amat berbahaya dan sekali gus boleh mengundang kemalangan, kenyataan itu membuatkan Zizie tertanya-tanya, apakah cara beliau memandu juga berbahaya.
Apabila beliau sendiri bertanya kepada Bung Moktar, apakah dia benar-benar maksudkan apa yang dikatakannya dalam Parlimen tempoh hari, suaminya itu memberi penjelasan bahawa bukan itu maksud sebenar dan kenyataan yang dibuatnya itu adalah secara umum.
“Dia menjelaskan bahawa dia tidak mendiskriminasi pemandu wanita termasuk isterinya sendiri,” kata pelakon ini dipetik Utusan Malaysia hari ini.
“Apa yang disebut dalam Parlimen tempoh hari tidak ditujukan kepada pemandu wanita secara khusus, tetapi termasuk juga sikap pemandu lelaki yang cuai ketika memandu.
“Setelah mendengar penjelasannya, saya jadi reda. Barulah saya tahu bahawa kenyataannya telah disalahertikan.
“Lagipun sebagai orang yang paling dekat dengannya, saya faham niat dan maksud yang cuba disampaikannya. Dia tidak pernah mendiskriminasi antara pemandu wanita dengan lelaki,” katanya yang mendirikan rumah tanga dengan Bung Moktar akhir 2009.
Sidang Dewan Rakyat Isnin lalu ‘hangat’ apabila Datuk Bung Moktar Radin mendakwa pemanduan golongan wanita di negara ini kebanyakannya amat berbahaya, sekali gus boleh mengundang kemalangan.
Dakwa beliau, apabila golongan wanita memandu kereta, mereka tidak mempedulikan keadaan sekeliling dan ia menyebabkan pemandu lain terdedah dengan risiko kemalangan.
Zizie memberitahu, selalunya beliau yang memandu kereta sekiranya mereka mahu ke mana-mana.
“Sepanjang saya memandu, dia tidak pernah tegur atau pun bersungut bahkan puas hati dengan cara pemanduan saya,” katanya.
Kata Zizie, suaminya itu juga memberitahunya, dia bukan ‘gila’ untuk mengeluarkan kenyataan yang berbaur diskriminasi gender.