11 doktor bertugas sahkan hospital tung shin diserang polis
Kenyataan media sekumpulan doktor kanan dan pakar perubatan Hospital Tung Shin ditandatangani oleh Dr Musa Nordin, Dr Sheikh Johari Bux, Dr Ng Kwee Boon, Dr Ng Swee Choon, Dr Ronald Macoy, Dr David Quek, Dr Mary Cardozo, Dr Farouk Musa, Dr Mazeni Alwi, Dr Pixie Low dan Dr Steve Wong mengesahkan pihak berkuasa polis telah "menyerang' hospital tersebut dengan tembakan gas pemedih mata dan semburan 'water canon' air berkimia.
Lapor portal Harakahdaily.net para doktor tersebut mendakwa tindakan polis pada Sabtu lalu jelas mencabul pengiktirafan antarabangsa apabila hospital sebagai tempat santuari diserang. Semasa peperangan hospital juga tidak akan diserang tetapi dalam kes di Malaysia, polis memasuki bangunan hospital bagi mencari peserta yang melarikan diri daripada tembakan gas pemedih mata dan pancutan air berkimia.
Menurut kesebelas doktor berkenaan, pihak berkuasa dan Menteri Kesihatan tanpa rasa malu terus menafikan serangan itu di sebalik pelbagai bukti yang dikemukakan dan ramai saksi yang tampil membuat pengakuan.