Gergasi perlombongan Australia, Lynas Corporation Ltd, menerima cadangan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) bagi kilang nadir buminya di Zon Perindustrian Gebeng, dekat Kuantan, dan akan melaksanakan sepenuhnya cadangan itu.
Pengerusi Eksekutifnya, Nicholas Curtis berkata syarikat itu yakin kilang tersebut akan siap dan memulakan operasi sebelum akhir tahun.
"Kami akan melaksanakan semua aspek cadangan bersama dengan pihak berkuasa kawal atur bagi meningkatkan lagi keselamatan kilang itu," katanya pada taklimat media, Khamis.
Lynas terus komited sepenuhnya sebagai keutamaan utama kepada keselamatan kakitangan dan masyarakat di mana kilang itu beroperasi, katanya. IAEA hari ini memuktamadkan laporan bahawa kilang nadir bumi Lynas selamat dan mematuhi sepenuhnya semua standard antarabangsa. Ia juga menggariskan 10 cadangan.
Laporan itu, antara lainnya, mencadangkan Lynas menyerahkan pelan pengurusan sisa buangan jangka panjang sebelum operasi bermula bagi penganugerahan lesen praoperasi.
"Soalan dalam laporan IAEA ialah apakah rancangan bagi simpanan kekal sebaik sahaja kilang ditutup dalam masa 30 hingga 50 tahun akan datang. Kami akan menggabungkan pelan yang akan berdasarkan kepada data saintifik dan menyerahkannya kepada IAEA kerana ia adalah syarat-syarat bagi lesen praoperasi.
"Kami selesa dengan syarat-syarat itu. Kami sedang mengusahakanya dan kami percaya pelan itu boleh dicapai dan lebih awal daripada yang disasarkan," kata Curtis.
Laporan itu juga menyebut Lynas mempunyai obligasi untuk melakukan lebih banyak lagi kepada penduduk Kuantan.
Beliau mengakui yang syarikat itu tidak mengambil langkah mencukupi untuk berinteraksi dengan penduduk setempat bagi mengetahui lebih mendalam kebimbangan mereka, justeru itu mulai sekarang ia akan giat terlibat dengan masyarakat tempatan.
"Kami berhasrat untuk meningkatkan komitmen kami dalam berinteraksi bersama masyarakat termasuk perbincangan dengan penduduk Kuantan yang akan berterusan," katanya.
Mengenai pengeluaran kilang itu, Curtis berkata pengeluaran penuh kilang itu akan mengambil masa untuk meningkat dan ia akan beroperasi pada kapasiti penuh menjelang separuh kedua 2012.
"Kami menjangka berupaya menyediakan beberapa produk kepada pelanggan pada separuh pertama 2012. Kami yakin dengan sasaran itu.
"Kami akan memenuhi kos yang diperlukan bagi mematuhi semua cadangan dan kami berupaya berbuat demikian. Kami gembira untuk berbuat demikian," katanya.
Curtis berkata syarikat itu juga akan melaksanakan kerja-kerja yang sedang dilakukan sekarang selepas pemberian lesen praoperasi bagi mematuhi cadangan IAEA.
Beliau berkata pengalaman itu telah menguatkan lagi keyakinan sebagai pelabur di Malaysia dan menunjukkan bahawa Malaysia adalah destinasi menarik bagi pelaburan langsung asing. - BERNAMA
Lynas Corp Nafi Laporan New York Times
Lynas Corporation Ltd pada Khamis menafikan dakwaan bahawa kilang nadir buminya yang terletak di Zon Perindustrian Gebeng, dekat Kuantan, berdepan dengan masalah reka bentuk serta pembinaan yang membahayakan alam sekitar.
Dengan tajuk "The Fear of a Toxic Rerun", laporan New York Times hari ini memetik memo dalaman serta bekas jurutera dan jurutera sekarang ini terhadap projek itu.
Bercakap pada taklimat media hari ini, Pengerusi Eksekutifnya Nicholas Curtis memberi jaminan yang kilang itu selamat dan tiada isu kejuruteraan.
"Kami tidak faham, sumber bahan berkenaan dalam artikel itu. Kami boleh mengesahkan yang tiada isu kejuruteraan yang kami percaya tidak selamat.
"Kami mengutamakan keselamatan masyarakat dan pekerja mendahului segalanya dan kami tidak akan berkompromi dalam standard kejuruteraan.
"Semua pihak kontrak bersetuju dengan kami yang tiada isu kejuruteraan penting yang menyebabkan kami tidak dapat mematuhi sebarang standard. Kami tahu kilang selamat.
"Tiada apa yang menjadikan kami tidak dapat memenuhi standard yang ditetapkan di Malaysia," kata Curtis, dan menambah standard di Malaysia adalah standard antarabangsa.
Sementara itu, mengulas mengenai saranan supaya diadakan debat media awam mengenai kilang nadir bumi oleh anggota parlimen Kuantan Fuziah Salleh, Curtis berkata: "Saya tidak rasa ia sesuai.
"Bukan kedudukan saya sebagai warga asing dan tetamu di Malaysia untuk mengadakan debat awam dengan anggota parlimen.
"Kedudukan saya sebagai pelabur asing dengan pelaburan yang besar di Malaysia bagi menangani kebimbangan rakyat yang berkenaan sebaik mungkin dalam pertemuan persendirian antara kami secara bebas dan terbuka," katanya.