Orang ramai diminta tidak membuat pembelian panik kerana stok simpanan beras negara ini adalah mencukupi sekalipun berlaku bencana banjir besar di negara pengeluar utama beras dunia seperti Thailand, Vietnam dan Kemboja ketika ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata negara mempunyai stok penimbal bekalan beras untuk tempoh sehingga enam bulan.
"Malaysia mengeluarkan 70 peratus pengeluaran beras sendiri dan hanya 30 peratus diimport dari negara pengeluar utama Thailand, Vietnam dan Kemboja.
"Bagaimanapun KPDNKK dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan mengadakan perbincangan dan kerjasama bagi mengatasi kemungkinan berlakunya kekurangan bekalan beras di negara ini," katanya
Ismail Sabri berkata jika keadaan beras negara dilihat meruncing, pelbagai alternatif akan diambil termasuk mengimport beras dari India dan Indonesia.
"Orang ramai jangan mudah terpedaya dengan khabar angin yang kononnya harga beras akan naik kerana ia hanya boleh mencetus suasana pembelian panik," katanya.
Sementara itu tinjauan dibeberapa pasaraya terkenal sekitar lembah Kelang orang-ramai dilihat berpusu-pusu membeli beras.