Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil pada Khamis memfailkan saman fitnah menuntut ganti rugi RM100 juta terhadap Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR), Zuraida Kamaruddin dan Pengarah Strategi PKR, Mohd Rafizi Ramli berhubung isu Perbadanan Fidlot Kebangsaan (NFC).
Saman tersebut difailkan peguam terkemuka Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Jalan Duta di sini.
Shahrizat menuntut ganti rugi am disebabkan fitnah secara lisan yang memudaratkan berjumlah RM50 juta serta ganti rugi teruk dan teladan berjumlah RM50 juta.
Menerusi writ saman tersebut, Shahrizat yang juga Ketua Pergerakan Wanita Umno memohon perintah injuksi bagi menghalang kedua-dua defendan daripada terus membuat sebarang pernyataan atau kenyataan secara bertulis terhadapnya berkaitan NFC atau syarikat-syarikat bersekutunya.